Friday 1 February 2013

Sia Leh Ching-Definisi & Konsep Pertumbuhan, Kematangan dan Pembelajaran Motor




1.0       KONSEP DAN DEFINISI


1.1       Konsep Pertumbuhan, Kematangan, Dan Pembelajaran Motor

Perkembangan dan pertumbuhan manusia merujuk kepada proses yang dinamik dan kompleks. Kedua-dua istilah ini adalah saling bergantung ataupun proses yang saling berkaitan. Perubahannya meliputi aspek dari segi fizikal, kognitif dan psikososial sepanjang pusingan hayat manusia.

            Pertumbuhan manusia secara fitrahnya bersifat lemah pada awal usianya, semakin membesar dan kuat pada usia pertengahan dan menjadi lemah kembali pada usia emas. Perkembangan manusia meliputi dari saat terbentuknya janin manusia sehingga menjadi seorang bayi dan seterusnya berkembang menjadi seorang kanak-kanak, remaja, dewasa dan berakhir dengan detik kematian.

            Pengetahuan mengenai pertumbuhan dan kematangan adalah perlu untuk memastikan pembelajaran motor dapat dimaksimumkan sejajar dengan tahap kebolehan penerimaan pengajaran kemahiran.
Rajah 1.1.1 Kitaran Hidup Manusia

            Kematangan membawa maksud kemajuan ke arah kematangan fizikal, keadaan integrasi optimum fungsi sistem tubuh seseorang individu dan keupayaan untuk membiak. Perkembangan akan berterusan biarpun selepas kematangan fizikal dicapai.

            Manakala aspek pembelajaran motor pula menekankan pemerolehan kemahiran motor, peningkatan prestasi dari belajar atau berpengalaman dalam kemahiran motor atau pengambilalihan semula kemahiran yang sukar untuk melaksanakan atau tidak boleh dilakukan kerana kecederaan atau penyakit.


1.2       Definisi


1.2.1    Pertumbuhan (Growth)

Pertumbuhan manusia adalah satu proses yang berlaku secara berterusan. Proses pertumbuhan dan perkembangan manusia telah mula berlaku dengan pesat sebaik sahaja berlakunya persenyawaan di dalam rahim untuk membentuk zigot dan seterusnya berkembang sebagai embrio dan janin. Peringkat pertumbuhan ini dikenali sabagai pertumbuhan pranatal. Pertumbuhan peringkat seterusnya dikenali sebagai pertumbuhan posnatal.

            Pertumbuhan merupakan satu proses tak berbalik yang terdapat pada semua benda hidup termasuklah manusia. Pertambahan ini bersifat kuantitatif terutamanya dalam saiz tubuh badan secara menyeluruh atau saiz yang dicapai oleh anggota badan tertentu.

            Perubahan dalam saiz badan melibatkan tiga proses selular iaitu:
                      i.        Penambahan bilangan sel (hyperplasia)
                     ii.        Penambahan saiz sel (hypertrophy)
                    iii.        Penambahan bahan-bahan interselular (accretion)
Rajah 1.2.1.1 Tiga Proses Selular

Rajah 1.2.1.2

Rajah 1.2.1.3 Pembentukan Blastosista Secara Mitosis

            Proses pertumbuhan ini berbeza mengikut umur dan tisu-tisu badan yang terlibat. Misalnya, bilangan neuron (sel otak) dibentuk semasa pertengahan kehamilan manakala bilangan gentian (fiber) otot terbentuk sejurus kelahiran. Selepas itu, kedua-dua ini tisu tumbuh terutamanya oleh hipertropi walaupun dalam kes tisu otak, hiperplasia jenis sel-sel saraf berterusan pada separuh kedua penghamilan dan berterusan selepas bersalin. Proses-proses ini selular juga terlibat dalam perubahan biologi yang menjadi asas kematangan dan pembezaan seseorang individu.
Rajah 1.2.1.4 Rajah Skematik Pertumbuhan Tisu Otot Rangka Sebagai Fungsi Hiperplasia Selular (Atas) Dan Hipertropi (Bawah).


1.2.2    Kematangan (Maturation)

Kanak-kanak
Orang Dewasa
Rajah 1.2.2.1

Kematangan merupakan satu proses seseorang individu menjadi matang atau satu langkah ke arah mencapai keadaan matang. Maturation merupakan satu proses ke arah kematangan manakala maturity adalah kematangan. Proses matang ini berlaku dalam semua tisu, organ, dan sistem organ, serta boleh memberi kesan ke atas enzim, komposisi kimia dan fungsi.

            Proses matang adalah berbeza mengikut sistem biologi seseorang. Contohnya, proses kematangan seksual adalah perubahan keadaan keupayaan organ-organ pembiakan untuk berfungsi sepenuhnya. Proses kematangan tulang pula adalah perubahan keadaan rangka tulang sehingga terbentuk sepenuhnya. Proses kematangan sistem endokrin dan saraf (neuroendocrine) adalah satu faktor utama dalam proses kematangan seksual, tulang dan somatik semasa peringkat akhir kanak-kanak dan remaja.

            Proses matang adalah merujuk kepada tempo (kadar kematangan berlaku) dan waktu (tempoh masa berlakunya kematangan khusus) perkembangan ke arah keadaan yang matang secara biologikal. Proses matang berfokus pada kadar pencapaian saiz dewasa dan kematangan. Tempoh masa merujuk kepada apabila peristiwa kematangan khusus berlaku atau umur pada kadar pertumbuhan maksimum semasa pemecutan pertumbuhan remaja.

            Tempoh masa dan tempo berbeza mengikut individu serta variasi perbezaan dalam kemajuan dirujuk sebagai kadar perubahan. Setiap individu berbeza dalam masa dan tempo kematangan masing-masing. Sebagai contoh, dua orang kanak-kanak yang saiznya sama tetapi mereka boleh berbeza dalam kadar kematangan.


1.2.3    Pembelajaran Motor (Motor Learning)

Pembelajaran kemahiran motor ialah bidang pengajian pergerakan manusia yang berfokus kepada perubahan dari segi keupayaan kawalan dan prestasi motor yang berlaku hasil proses fizikal seperti praktis dan latihan. Manusia dapat menanggani alam sekitar yang tidak menentu dengan kemahiran-kemahiran yang dipelajari dalam kehidupan seharian. Kemahiran yang dipelajari bergantung kepada keupayaan organisma mengadaptasi dan mengatasi ciri-ciri persekitaran yang tidak menentu.

            Selain itu, pembelajaran motor juga didefinisikan sebagai satu proses pembelajaran kemahiran secara berperingkat dalam proses perkembangan motor bayi. Proses ini berlaku secara semula jadi bagi bayi yang bermula sejak lahir hingga dewasa. Kadar pembelajaran motor bayi berlaku adalah bergantung kepada bantuan dan bimbingan orang di sekeliling terutamanya ibu bapa. Pembelajaran motor kanak-kanak adalah pergerakan motor yang diperolehi daripada pengalaman. Contohnya apabila kanak-kanak dalam keadaan meniarap dan ternampak barang mainan di hadapannya, kanak-kanak tersebut akan bergerak dengan menggunakan kekuatan otot leher dan paha untuk bangun secara tiarap secara spontan untuk mencapai barang mainan itu.

            Pembelajaran motor ditarifkan berasaskan empat sifat utamanya, iaitu:
Rajah 1.2.3.1 Tarifan Pembelajaran Motor

            Hasil sintesis empat sifat utama di atas, pembelajaran motor ditarifkan sebagai satu set proses yang berkait dengan latihan atau pengalaman yang membawa kepada perubahan keupayaan untuk bergerak yang kekal.

            Mengikut Cratty (1975), pembelajaran motor adalah perubahan tahap kemahiran yang stabil hasil daripada percubaan yang berulang-ulang. Menurut Drowatzky (1981) pula, penyesuaian yang melibatkan pergerakan dan tindak balas otot. Malina, et al. (2004) mengatakan bahawa pembelajaran motor adalah kemajuan dalam prestasi hasil latihan yang lama. Jadi, ini berkaitan dengan tindak balas tisu dan sistem yang khusus terhadap latihan. Daripada ketiga-tiga definisi tersebut, pembelajaran motor boleh dikatakan sebagai satu proses pembelajaran yang berlaku hasil daripada latihan dan pengalaman dalam pemerolehan kemahiran.

            Terdapat dua ciri perubahan tingkah laku yang dikaitkan dengan pembelajaran kemahiran motor, iaitu:
      i.        Penguasaan kemahiran perlu ada peningkatan mengikut masa.
Seseorang pemain perlu boleh mempamerkan kemahiran yang lebih tinggi selepas satu jangka masa yang ditetapkan. Contohnya, seorang pemain bola keranjang yang mempelajari kemahiran menggelecek bola sambil mengelak pihak lawan perlu boleh menggelecek bola dengan cekap dan pantas malah ditambahkan lagi dengan teknik tipu helah selepas menjalani latihan.

     ii.        Penguasaan kemahiran perlu terus meningkat dengan konsisten dan kekal.
Situasi seperti seseorang itu tidak dapat melakukan suatu kemahiran dengan konsisten dan kebolehan melakukannya juga sentiasa berubah-ubah mengikut masa sering berlaku pada awal pembelajaran sesuatu kemahiran baru. Namun begitu, kemahiran dapat dikuasai dengan konsisten selepas menjalani praktis dan latihan.

            Perubahan pencapaian pembelajaran kemahiran motor dalam sesuatu sukan atau permainan boleh digambarkan melalui lengkok pembelajaran kemahiran:
      i.        Lengkok lurus (linear)
·         Peningkatan kemahiran yang berkadar terus dengan masa.
·         Semakin kerap seseorang atlet menjalani latihan, semakin meningkat kemahiran motornya.
·         Contohnya, kadar seorang pemain bola keranjang dapat menjaringkan gol dengan tepat akan meningkat selepas melakukan jumlah latihan yang setimpa dengannya.
Rajah 1.2.3.2

     ii.        Lengkok cembung (pemecutan negatif)
·         Peningkatan kemahiran secara mendadak diawal pembelajaran tetapi beransur kurang pada penghujung proses pembelajaran.
·         Contoh kemahiran memukul dalam permainan babdminton. Walaupun kemahiran ini senang dipelajari dan dikuasai, namun kemahiran memukul dengan laju, tepat dan terkawal adalah agak sukar dipelajari.
·         Oleh itu, peningkatan pembelajaran akan berlaku secara mendadak pada awal pembelajaran tetapi kadar peningkatan penguasaan berlaku dengan perlahan selepas tahu mengaplikasikan suatu kemahiran itu.
Rajah 1.2.3.3

    iii.        Lengkok cekung (pemecutan positif)
·         Peningkatan berlaku dalam kadar perlahan di awal pembelajaran tetapi mendadak naik di akhir proses pembelajaran.
·         Bagi perenang baru, masa yang diambil untuk menguasai kemahiran asas berenang seperti teknik pernafasan dan apungan adalah lebih lama berbanding dengan masa yang diambil untuk mempelajari gaya renang seperti kuak dada selepas menguasai kemahiran asas tersebut.
Rajah 1.2.3.4

   iv.        Lengkok bentuk S (Ogive)
·         Gabungan daripada ciri-ciri lengkok lurus, cekung dan cembung.
·         Pembelajaran kemahiran bersiri.
·         Contohnya, dalam mempelajari satu rutin tarian atau rutin latihan lantai untuk gimnastik, kesukaran atau kesusahan bagi setiap pergerakan adalah berbeza. Ini bermakna kadar mempelajari suatu pergerakan itu akan berlainan mengikut kadar kesukaran pergerakan itu.
Rajah 1.2.3.5

            Kemahiran motor boleh digunakan dalam dua konteks yang berbeza. Pertama, sebagai tugasan atau perlakuan. Konteks ini mempunyai matlamat yang khusus untuk dicapai dan memerlukan pergerakan anggota badan. Kedua, sebagai indikator prestasi berkualiti, iaitu kemahiran yang dinilai dengan prestasi yang produktif. Contohnya, 60% hingga 70% servis pertama dalam permainan tenis dikira dengan lakuan yang betul dan tepat.
Rajah 1.2.3.1.1 Klasifikasi Kemahiran

            Menurut Poulton (1957) dan Knapp (1964), kemahiran-kemahiran tertutup dan terbuka berasaskan kepada penyesuaian dengan persekitaran.
Rajah 1.2.3.1.2 Kemahiran Terbuka dan Tertutup


1.2.4    Perkembangan (Development)

Perkembangan merupakan satu bidang pembelajaran pergerakan manusia yang berfokus kepada perubahan dari segi keupayaan kawalan pergerakan dan prestasi motor yang berlaku sepanjang hayat. Perubahan-perubahan yang berlaku adalah hasil proses semula jadi yang dialami oleh sistem biologi setiap individu seperti proses perkembangan tumbesaran, kematangan dan penuaan.

            Perubahan yang berlaku dilihat menerusi dua aspek:
                      i.        Peningkatan keupayaan (dari bayi hingga dewasa)
Rajah 1.2.4.1
Pencapaian kemahiran motor berkembang dan dipelajari sejak kecil hingga dewasa. Perkembangan motor kanak-kanak berlaku dalam urutan. Ini bermakna berlakunya perubahan daripada perilaku reflex bayi ke perilaku kompleks iaitu seseorang itu telah mencapai tahap matang. Pada peringkat matang ini, seseorang individu itu akan dapat melakukan teknik atau kemahiran pada tahap optimum.

            Perkembangan motor kanak-kanak akan berterusan sehingga ke tahap kematangan yang kebiasaannya berlaku pada peringkat dewasa. Namun begitu, tahap kematangan perkembangan motor adalah berbeza mengikut setiap individu. 

                     ii.        Penurunan keupayaan (dari dewasa hingga tua)
Rajah 1.2.4.2
Kebanyakan manusia mencapai pertumbuhan kemuncak pada awal dewasa. Selepas mencapai tahap matang, sistem dan fungsi tubuh akan mengalami penurunan keupayaan apabila seseorang itu menuju ke arah peringkat tua dan uzur.

            Perkembangan dapat digunakan dalam dua konteks yang berbeza:
Rajah 1.2.4.3

            Haywood (1993) menjelaskan perkembangan sebagai perubahan tingkah laku akibat daripada interaksi kanak-kanak dengan persekitarannya. Ini bermakna perkembangan boleh merujuk kepada pemerolehan dan penghalusan tingkah laku yang dipengaruhi oleh masyarakat.


1.2.5    Prestasi Fizikal (Physical Performance)

Perkembangan dan kehalusan sesuatu prestasi kemahiran dalam pelbagai aktiviti motor adalah permulaan peringkat perkembangan kanak-kanak dan remaja. Kanak-kanak normal selalunya mempunyai potensi untuk berkembang dan belajar pelbagai kemahiran dan pola pergerakan yang asas dan khusus. Pola pergerakan ini akhirnya akan digabungkan ke dalam kemahiran khusus akan menjadi paksi utama kepada perkembangan tingkah laku kanak-kanak.

           Sifat-sifat prestasi kanak-kanak berkaitan dengan pertumbuhan, proses matang dan perkembangan mereka. Hal ini dapat dilihat dengan jelas dan ketara dalam perkembangan asas pola pergerakan seperti berjalan, berlari dan melompat.

            Semasa kehidupan pada 7 atau 8 tahun pertama, perkembangan corak pergerakan asas banyak bergantung kepada kadar kematangan saraf seseorang individu, yang kesan daripada pengalaman pergerakan lepas dan pengalaman pergerakan semasa. Sebaik sahaja pembentukan corak pergerakan asas, pembelajaran dan latihan adalah faktor penting yang mempengaruhi kecekapan motor.

            Pertumbuhan kanak-kanak dan ciri-ciri kematangan juga menjadi semakin penting dalam pencapaian prestasi, terutamanya dalam tugas yang memerlukan kekuatan, kuasa, dan kelajuan yang sangat baik. Keadaan persekitaran turut mempengaruhi peluang untuk melaksanakan dan interaksi sosial yang bersekutu juga menyumbang kepada perkembangan keupayaan prestasi.
Rajah 1.2.5.1


1.2.6    Aktiviti Fizikal (Physical Activity)

Aktiviti fizikal adalah suatu tingkah laku yang berlaku dalam pelbagai bentuk dan konteks termasuk dalam permainan bebas, kerja seharian, senaman, pendidikan jasmani di sekolah dan sukan yang dikelolakan. Ini bermakna aktiviti fizikal merujuk kepada mana-mana pergerakan badan yang dihasilkan oleh otot rangka dan akan menyebabkan peningkatan kecil dalam penggunaan tenaga semasa rehat.

            Aktiviti fizikal yang berkala boleh menyelaraskan berat badan dan rembesan mineral tulang semasa peringkat kanak-kanak dan remaja. Peningkatan penggunaan tenaga yang diperlukan semasa aktiviti fizikal daripada aktiviti harian akan menyumbang kepada kecekapan fungsi pelbagai sistem, pengekalan berat badan, mengurangkan risiko penyakit degeneratif, dan mengurangkan risiko kematian awal serta meningkatkan kualiti kehidupan yang menyeluruh.
Rajah 1.2.6.1

            Namun begitu, aktiviti fizikal tidak sama dengan latihan (training). Latihan adalah merujuk kepada sesuatu program yang sistematik dan khusus untuk sukan tertentu dalam jangka masa tertentu.


2.0       PERINGKAT PERKEMBANGAN KEMAHIRAN MOTOR

Arnold Gesell (1952) telah memperkenalkan dua prinsip perkembangan motor yang berfokus kepada perkembangan yang berlaku dalam dua tahun pertama selepas kelahiran bayi.
Rajah 2.1 Prinsip Perkembangan Motor

Rajah 2.2 Perkembangan Awal Kanak-kanak
(Sumber diubahsuai daripada Jollet dan Mitchell, (1996). Lifespan Development.)

Rajah 2.3

Rajah 2.4 Perkembangan Cephalocaudal dan Proximodistal
(Sumber diubahsuai daripada Jollet dan Mitchell, (1996). Lifespan Development.)

a.    Prinsip Cephalocaudal
Gabungan dua perkataan Latin, iaitu:
                      i.        Cephalo           = kepala
                     ii.        Caudal             = hujung saraf tunjang

            Perkembangan Cephalocaudal bermaksud perkembangan kawalan otot secara beransur-ansur dari bahagian kepala hingga bahagian hujung jari kaki.
Rajah 2.5 Tiga Peringkat Major Perkembangan Kawalan Postur

Rajah 2.6 Tiga Peringkat Major Perkembangan Keupayaan Lokomotor
Rajah 2.7 Perkembangan Cephalocaudal

b.    Prinsip Proximodistal
Gabungan dua perkataan latin, iaitu:
                      i.        Proximo          = hampir
                     ii.        Distal               = jauh

            Perkembangan proximodistal bermaksud perkembangan kawalan otot secara beransur-ansur dari bahagian tengah (paksi) badan ke bahagian yang menjauhi paksi badan.

Rajah 2.8 Peringkat Perkembangan Keupayaan Manual
3.0       INDIVIDU BIOCULTURAL

Pertumbuhan dan kematangan adalah proses biologi, manakala perkembangan adalah satu konsep yang lebih luas yang melibatkan beberapa domain tingkah laku. Prestasi fizikal, aktiviti, dan kecergasan mengandungi kedua-dua domain biologi dan tingkah laku. Pertumbuhan dan kematangan biologi tidak berterusan secara berasingan daripada aspek-aspek dalam peribadi dan alam tingkah laku.
Rajah 3.1 Interaksi Antara Pertumbuhan, Perkembangan, dan Kematangan

            Kedua-dua biologi dan domain tingkah laku saling berinteraksi dalam membentuk individu kerana mereka berkembang dari keadaan yang tidak matang kepada matang atau dari peringkat awal melalui zaman kanak-kanak dan remaja menjadi dewasa. Pertumbuhan, pematangan dan perkembangan saling berinteraksi ke arah membentuk konsep diri, cara menilai dan melihat diri, dan harga diri, nilai atau tahap penghargaan yang seseorang kanak-kanak itu dalam meletakkan pada diri mereka sendiri.

            Konsep kendiri boleh ditakrifkan sebagai persepsi seseorang menilai kualiti, sifat dan ciri-ciri diri sendiri. Selepas kelahiran, peringkat bayi masih tidak mempunyai konsep diri. Namun begitu selepas 24 bulan, kebanyakan bayi akan menunjukkan tanda-tanda pengiktirafan diri. Mereka boleh mengenal pasti kategori sosial mereka adalah seperti dalam usia dan jantina, "siapa yang sama dengan saya dan siapa yang tidak sama dengan saya". Pelbagai perangai akan mereka pamerkan.

            Manakala bagi kanak-kanak prasekolah, konsep diri adalah lebih bersifat konkrit dan fizikal. Apabila berumur 8 tahun ke atas, mereka boleh menerangkan kualiti dalaman. Bagi remaja pula, konsep kendiri lebih abstrak dan ke arah psikologi. Penstabilan sifat-sifat konsep kendiri akan berterusan. Faktor budaya dan keluarga berperanan dalam mempengaruhi perkembangan tingkah laku dan sifat-sifat seseorang individu.

            Justeru, konsep diri dan harga diri boleh mempengaruhi kecekapan seseorang kanak-kanak dalam pelbagai domain termasuklah aktiviti fizikal dan sukan. Perkembangan konsep diri dan harga diri yang sering diabaikan dalam perbincangan biologikal kanak-kanak dan remaja dapat mempengaruhi variasi dalam pertumbuhan dan kematanga serta perkembangan kelakuan. Interaksi biasanya lebih ketara semasa peralihan ke peringkat dewasa apabila kebolehubahan yang agak besar wujud dalam kalangan individu dalam masa dan tempo memancut pertumbuhan remaja dan kematangan seks mereka.


4.0       PERTUMBUHAN POSTNATAL: SCAMMON’S CURVES

Rujuk lampiran.













5.0       RUJUKAN

David L. Gallahue, & Frances Cleland-Donnelly.  (2002).  Developmental Physical
      Education for All Children W/Journal Access (4th ed.).  Retrieved from http://books.google.com.my/books?id=Emx7EjURqpcC&pg=PR14&dq=growth+and+motor+development&hl=en&sa=X&ei=uhj8T9SpFI2JrAeR2p29Bg&ved=0CFUQuwUwBTgK#v=onepage&q=growth%20and%20motor%20development&f=false

Dzulkifli Ismail, & Jamaliyah Ahmad.  (2006).  Sains Sukan Tingkatan 4.  Selangor: H. I. Holdings Sdn. Bhd.

Marc H. Bornstein, & Michael E. Lamb.  (2005).  Developmental Science: An Advanced Textbook (5th ed.).  United States: Lawrence Eribaum Associates.

Mary Mayesky.  (n.d.).  Creative Activities for Young Children. Retrieved from http://books.google.com.my/books?id=YntVHHPdWnQC&pg=PA183&dq=growth+and+motor+development&hl=en&sa=X&ei=QRT8T6LMEomGrAelpMS9Bg&ved=0CEIQ6AEwAg#v=onepage&q=growth%20and%20motor%20development&f=false

Noel Cameron, & Barry Bogin.  (2012).  Human Growth and Development. Retrieved from http://books.google.com.my/books?id=V8v3yD9--x8C&pg=PA294&dq=growth+and+motor+development&hl=en&sa=X&ei=uhj8T9SpFI2JrAeR2p29Bg&ved=0CE4QuwUwBDgK#v=onepage&q=growth%20and%20motor%20development&f=false

Pj Paragon Admin.  (2010).  Pjm 3105 Pertumbuhan, Perkembangan Dan Pembelajaran Motor.  Retrieved from http://paragon-ipda.blogspot.com/2010/11/pjm-3105-pertumbuhan-perkembangan-dan.html

Robert M. Malina, Claude Bouchard, & Oded Bar-Or.  (2004).  Growth, Maturation, and Physical Activity (2nd ed.).  United States: Human Kinetics.

Virginia State University.  (2009).  Human Growth and Development - A Matter of Principles.  Retrieved from http://pubs.ext.vt.edu/350/350-053/350-053.html

Zulkiply Yaakob.  (n.d.).  Perkembangan Motor Halus dan kasar Kanak-kanak.  Retrieved from http://www.scribd.com/doc/12898166/Perkembangan-Motor-Halus-dan-kasar-Kanakkanak

2 comments:

  1. Salam sejahtera. Penulisan anda mudah difahami kerana kandungannya lebih detail mengenai tajuk ini. Saya amat tertarik. Bagus..

    ReplyDelete
  2. salam sejahtera. cara penerangan yang sagat mudah untk difahami setelah membaca maksud sebernar pembelajaran motor... sy sagat tertarik.

    ReplyDelete